Wednesday, 22 May 2013

Sesuatu didalam rasa

Saya ke Universiti Malaya hari ini, menghantar adik sepupu saya menghadiri temuduga untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Wah, nak ambil ijazah di IPTA pun sudah perlu ditemuduga sekarang. Jangan main-main!

Melihat watak-watak yang memenuhi ruang universiti, hati saya berbisik "Seperti inikah ilmuwan?". Entahlah.

******

Saya adalah seorang guru, yang pastinya menjadi salah satu dari tenaga kerja yang bekerja keras mendokong aspirasi pendidikan negara. Seperti guru lain, diari hidup saya dipenuhi dengan usaha pelbagai cara bagi memastikan anak didik saya menguasai setiap topik yang terkandung dalam silibus pembelajaran yang ditetapkan kementerian. Sesi penerangan, perbincangan, latihan penguasaan topik, ulangkaji, kuiz, ujian, peperiksaan dan banyak lagi, semuanya dirancang oleh insan kecil bergelar guru ini, semata-mata mengharapkan anak didiknya mampu meraih A dalam SPM.

Untuk apa semua ini? Supaya keputusan cemerlang SPM akan membuka pintu yang luas bagi anak muridnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bergelar mahasiswa, ilmuwan di peringkat universiti. 

Kemudian apa? Mengharapkan ilmuwan ini mendapat kerja hebat, kereta mewah, rumah besar? Ya, baguslah kalau mereka beroleh semua ini. Tapi lebih jauh dari itu, saya berharap, dengan harapan yang sangat tinggi, supaya ilmuwan ini dapat menyumbang sebanyak-banyaknya untuk agama-Nya. Biar jadi seperti Abu Bakr yang punya harta, tetapi semuanya untuk Islam. Biar jadi seperti Aisyah yang punya ilmu, tapi semuanya dikongsi untuk Islam. Biar jadi seperti Khalid Al-Walid yang punya kebijaksanaan dan keberanian di medan perang, tapi semuanya digunakan demi kepentingan Islam. Biar hebat di sisi Allah, kerana itulah kecemerlangan yang hakiki.

Namun benarkah jalan saya ini? Benarkah semua usaha saya ini mampu menjadikan harapan saya ini menjadi kenyataan? Dan persoalan-persoalan ini akhirnya membuatkan saya terfikir "Benarkah sistem pendidikan negara? Mampukah sistem pendidikan yang dokong selama ini mampu memenuhi harapan saya?"

Dan jawapannya samar-samar. 

Monday, 20 May 2013

Berbicaralah dengan tulisan

Hati berkocak
ada air bergenang di mata
dia jadi teringat
pada imannya
pada amalnya
pada Tuhannya

Sehingga tulisan itu 
habis dibaca satu-satu
dia terasa ada ruh baru
memacu imannya untuk
lebih banyak menyemai amal
lebih laju menghampiri Tuhan

*****

Hasil pena sebegini hebat
tidak akan lahir
kalau hati penulisnya
tidak penuh dengan iman dan cinta
pada Tuhan dan agamanya

Bait kata sebegini hebat
adalah terjemahan dari hati 
yang faham fikrah islam yang syumul
faham tugasnya sebagai abid
dan khalifah Tuhannya

*****

Oleh itu hai daie
ayuhlah
warnakan dunia ilmu ini
dengan tulisanmu
semoga dakwahmu takkan berhenti
meski nafasmu sudah tiada


Tuesday, 7 May 2013

Wira hati

PRU 13 sudah melabuhkan tirainya. Moga-moga barisan kepimpinan Malaysia yang baru ini terdiri dari kalangan mereka yang jujur, amanah dan komited memimpin negara ke arah kebaikan dunia dan akhirat. 

Hai sang pemimpin
usah terlalu gembira
apa lagi berbangga diri
saat kau terpilih
menjadi ketua kami
kerana dipundakmu kini
ada amanah baru
yang akan dipersoalkan
kelak di depan Tuhanmu

Namun jangan khuatir
hai pemimpin kami
tetaplah kau tersenyum
kerana jika kau benar dan jujur
memikul amanah ini
pasti Allah menolong
dan rakyat mendokong

Hai pemimpin
jadilah kau wira hati kami
yang meletakkan islam 
dalam pentadbiran, kehakiman
ekonomi, pendidikan, pembangunan
kekeluargaan, hiburan, perayaan
dan segalanya

Sesungguhnya pemimpin yang benar
akan menjadikan diri dan rakyatnya
semakin taat dan patuh
kepada Allah Yang Maha Kuasa

********

Mari sejenak kita imbas kembali kisah cemerlang di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Di akhir pemerintahan beliau, Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar Al-Khattab untuk menjadi pengganti beliau sebagai khalifah islam. Perkara ini disyurokan dan akhirnya dipersetujui oleh para sahabat. 

Saat Saidina Umar mengetahui perkara ini, beliau terus bergegas berjumpa dengan Saidina Abu Bakar dan berkata "Hai Abu Bakr, bebaskan aku dari ini". Namun Saidina Abu Bakar menjawab "Jika terpaksa aku menggunakan pedang supaya engkau menerimanya, pasti aku akan melakukannya". Akhirnya Saidina Umar akur, dan bermulalah hari-hari hidupnya yang sangat sibuk demi memastikan islam tertegak di setiap sudut pemerintahannya.

Pasti anda pernah mendengar kisah bagaimana Saidina Umar menghabiskan harinya memantau sendiri kehidupan rakyat sehingga suatu hari beliau terjumpa sebuah rumah milik seorang penjual susu. Saidina Umar terdengar perbualan antara penjual susu dengan anak perempuannya... 

“Bangunlah dan campurkan susu itu dengan air, untuk membanyakkan jualan kita esok..”

“Ibu, tidakkah ibu tahu tentang pengumuman yang dikeluarkan oleh Saidina Umar pada hari ini?”

“Apa pengumumannya?”

“Sesungguhnya Saidina Umar telah mengumumkan kepada penjual susu untuk tidak mencampurkan air ke dalam susu-susu yang hendak dijual..”

“Wahai anakku, bangunlah, dan campurkan sedikit air ke dalam susu itu. Sesungguhnya engkau berada di tempat yang tidak dapat dilihat oleh Saidina Umar.”

“Wahai ibuku, sesungguhnya aku tidak sekali-kali akan mentaatinya dalam keadaan terang-terangan dan mengkhianatinya dalam keadaan bersembunyi. Sekiranya Saidina Umar tidak melihat kita, maka Tuhan Amirul Mukminin melihat kita.”

Perbualan ini menyebabkan Umar datang semula ke rumah tersebut pada siang harinya. Beliau menegur sikap tidak amanah si penjual susu, dan sebaliknya memuji sikap amanah yang dimiliki oleh anak perempuan si penjual susu tersebut.

Nah! Lihatlah bagaimana seorang pemimpin yang benar akan menjadikan diri dan rakyatnya semakin tunduk dan taat kepada Allah dari hari ke hari.

Semoga pemimpin seperti inilah yang menunjangi barisan kepimpinan negara. 

Sunday, 24 February 2013

Bertatihlah bersamaku

Saya menonton filem "Taare Zameen Par" semalam. Pertama kali menontonnya secara penuh. Filem yang terasa dekat dihati. Mungkin kerana ia berkisar tentang karier yang sama seperti saya. Seorang guru. Seorang pendidik.

Kebiasaannya di mana-mana pun sekolah, guru akan berhadapan dengan berpuluh-puluh orang pelajar untuk diajar dalam satu-satu masa. Jika didalam kelas tersebut mempunyai 27 orang pelajar, maka guru berhadapan 27 kemampuan dan kebolehan yang berbeza untuk dibawa kepada satu kefahaman yang sama.


Selalu berlaku apabila guru mengajar A sehingga Z, hanya 5 orang sahaja yang dapat menguasai sepenuhnya A sehingga Z. Selebihnya mungkin 6 orang A sehingga D. 3 orang C sehingga F dan seterusnya. Maka selepas penerangan kepada seluruh kelas, guru harus mengambil inisiatif untuk mendekati setiap pelajar dan memastikan semuanya memahami A sehingga Z.


Dan hal ini akan menyebabkan guru harus mengulang pelajaran yang sama berulang-ulang. Mengulang dengan cara yang sama atau mungkin harus mencari analogi lain supaya kefahaman itu sampai kepada pelajar-pelajarnya. Kadang-kadang apabila pelajar tersenyum yakin bahawa dia faham, ternyata latihan-latihannya membuktikan bahawa ia belum faham sepenuhnya. Maka guru harus mengulang lagi, dan lagi. Sehingga terkadang guru melangkah longlai saat keluar dari kelas, kerana kepenatan.


Dan ternyata kepenatan guru itu tidak berhenti di situ. Latihan-latihan pelajar tadi harus disemak, supaya dia tahu tidak ada seorang pun yang tercicir kefahamannya. Malah kadang-kadang harus berkorban masa di luar waktu kerja, untuk memberi perhatian kepada pelajar yang sangat lemah supaya dia tidak ketinggalan. Menerangkan sesuatu kepada pelajar lemah bukan sesuatu yang mudah, harus bertatih bersama-samanya melangkah perlahan-lahan dari A sehingga Z.


Itulah kerjaya seorang pendidik. Dari kaca mata saya. Hatinya mesti diselaputi dengan dengan selimut sabar yang tebal, kemahuannya harus ditemani dengan kegigihan yang tinggi, ilmunya harus dilengkapi dengan idea-idea kreatif untuk menyampaikan faham. Meski dia mampu berlari, terkadang dia harus bertatih bersama-sama dengan anak didiknya, semata-mata untuk memastikan yang anak didiknya itu pun sampai juga ke garisan penamat.


Penat? Ya, tentulah! tapi itulah kebahagiaan bagi seorang pendidik. Bahagia melihat anak didiknya mampu berdiri sendiri melakar diari hidup yang cemerlang. Bahagia menanam benih-benih amal untuk dituai hasilnya di akhirat kelak. 


Dunia pendidik, di dalamnya bukan hanya ada guru, tapi juga ada ibu, ayah, kakak, abang, naqib, naqibah, murabbi malah sesiapa sahaja yang mahu kebaikan yang ada pada dirinya dikongsi dengan orang lain.



Satu-satunya kekuatan bagi sang pendidik ialah Allah, yang kepada-Nya dipohon agar memenuhkan hatinya dengan kasih sayang kepada semua anak didiknya walau bagaimana pun ragam mereka. Kerana amat sukar sekali mendidik tanpa rasa kasih sayang. Kepada-Nya juga dipohon agar dikurniakan kesabaran, kekuatan dan ilham-ilham untuk menyampaikan faham. Kepada-Nya juga ditautkan tawakkal, moga-moga ilmu yang dikongsikan mampu menerangi perjalanan anak didiknya menuju ke syurga.

Love to see you happy =)

Friday, 22 February 2013

betulkah ini?

saat perjuangan dirasakan sudah lama
saat lelah dirasakan menyekat nafas
hati mula bertanya kembali
pada soalan yang dulu dijawab yakin
tapi kini kembali kelabu

benarkah pilihanku ini?

pada puluhan pilihan masa depan
ku pilih guru sebagai kerjaya
dengan niat besar
ingin menyumbang setiap saat hidupku
untuk ummah dan islam

benarkah itu yang ku perbuat?

kiri kanan kucuba memerhati
semuanya nampak sama seperti dulu
entah mana kesannya kehadiranku ini
ada tak bertambah, tiada tak berkurang

saat ini aku pun menjadi tidak pasti
pada rentak langkah yang ku atur hari-hari
apakah makin mendekat
atau makin menjauh dengan niat asalku dulu..

O Allah, guide me to the straight path.

bila dia mahu pindah

"Cikgu, saya mahu pindah sekolah"

Saya selalu tidak pasti apa perasaan yang patut saya rasa saat berhadapan dengan situasi ini.


Sedih? Tapi kan pelajar ini akan ke tempat baru, di sana dia akan berhadapan dengan pangalaman-pengalaman baru yang pastinya sangat bermakna dalam perjalanannya mencari erti hidup.

Kalau begitu patutkah saya berasa gembira? Tapi pelajar ini akan ke sekolah baru yang tidak pasti warna didikannya bagaimana. Islamkah? Sekularkah? 

Jadi apa yang patut saya rasa saat pelajar mengucapkan jazakillah dan selamat tinggal?
Tiada jawapan.

Yang ada hanya doa dan tawakkal kepada Allah Maha Pelindung. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk pelajar ini dalam meraih redha-Nya, serta memenuhkan hati pelajar ini dengan iman yang benar dan  teguh agar walau apa pun yang bakal ditempuhinya, iman itu akan melindunginya dari tergelincir dari jalan menuju syurga.

Cikgu sayang selalu pelajar cikgu =)


Monday, 16 July 2012

Thanks a million!


“Apapun yang akan terjadi, Hamid, ingatlah bahawa ketika engkau tak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup.” – ibu Hamid
Filem Di Bawah Lindungan Kaabah

15 Julai 2012, Hari Karnival Sekolah Menengah Islam Hira' 2012. Pelajar sangat sibuk.

Guru pun juga. Malamnya saya sudah longlai, bekerja dari jam 7.30 pagi hingga jam 7.30 petang memang sungguh memenatkan. Selesai sahaja sola Isya', saya tidur sebentar di tikar sejadah. Tidak lama pun, kerana tiba-tiba sahabat saya mengejutkan saya dengan nada menggelabah, ala-ala rumah sudah terbakar lagaknya.

"Ziha, bangun sekarang!"

"Kenapa, why - why?"

"Kita kena jadi bidan terjun untuk suatu program. Penceramah sebenar tersangkut dalam traffic jam. Tempat program tu dekat-dekat sini saja. Jadi mereka minta tolong kita"

"Oh ye ke, ok" Selamba sahaja bersetuju, kerana kami hanya diminta untuk berkongi pengalaman semasa belajar di universiti mat saleh suatu masa dulu. Dalam bayangan saya, audiens hanyalah 20 - 30 orang pelajar perempuan yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hmm, InsyaAllah boleh bantu!

Kami pun bergerak. Alhamdulillah sahabat saya sudi membiarkan saya menjadi co-driver sahaja. Sempatlah saya tidur-tidur sekejap sepanjang perjalanan.

Sampai di sana, saya ternampak peserta-peserta program tersebut yang sudah pun berkumpul di dalam dewan.

"Aik, ramai semacam je" hati saya terdetik.

"Aduh, seram lah pula nak jadi bidan terjun ni" sahabat saya yang juga melihat ke arah dewan mula bersuara. Dari tadi beliau cool je.

"Kenapa kak" tanya saya dengan hati yang mula berdebar-debar.

"Sebenarnya audiens ada 100+ orang. 30 orang lelaki selebihnya perempuan. Kita akan buat ala-ala forum. Ada 3 orang panel, 2 orang adalah kita, dan seorang lagi adalah dari pihak lelaki" sahabat saya mendedahkan cerita sebenar yang membuatkan saya rasa macam nak lari sahaja daripada tempat itu serta-merta"

"Kenapa akak tak beritahu saya awal - awal?"

"Heheh.. ini panggilan dakwah ziha, takut macam mana pun kita kena buat juga"

Apa lagi, saya pun mula menggelabah. Bab - bab menggelabah ini memang saya nombor satu. Terpaksalah para fasilitator menenangkan saya sekejap. Tapi walaupun mereka tahu saya gelabah, mereka tetap mahu saya ke pentas juga. Tiada pilihan, aduh!

Saya naik ke pentas. Selepas memohon doa dari para fasi. Di atas pentas, saya panjatkan doa "Ya Allah tolonglah aku untuk melakukan kebaikan, aku mahu menyampaikan kebaikan kepada mereka kerana semoga dengan itu aku beroleh redha-Mu. Tolong aku ya Allah". Tangan menggeletar. Gelabah tadi menguasai diri.

Dari atas pentas saya pandang audiens. "Eh, kenapa sekarang rasa cool je?" saya pelik, kerana tiba-tiba rasa gelabah dan takut tadi hilang. Alhamdulillah.

Moderator memulakan forum. Saya berjaya menjawab soalan dengan baik. Idea datang, ayat lancar walaupun tiada script. Penyampaian pun dapat diselitkan dengan lawak jenaka, yang serius saya tidak boleh buat kalau menggelabah. Alhamdulillah.

Alhamdulillah. Saya sendiri pun terkejut dengan penyampaian saya itu.

Selesai program tersebut, beberapa orang fasi datang bertemu dengan saya. Memuji. Saya pulangkan semua pujian itu kepada Allah, kerana hanya Dia yang berhak pada pujian tersebut.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, kerana memberiku peluang untuk berdakwah, berkongsi kebaikan dengan orang lain.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, kerana menghilangkan kelemahanku, dan memberiku kekuatan untuk menjayakan program ini.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, kerana mendatangkan ilham kepadaku untuk menjwab soalan-soalan secara spontan.

Alhmdulillah, terima kasih Ya Allah, kerana memberiku kemampuan untuk menyampaikan kebaikan dengan cara yang menarik. Moga sampai ke hati dan dapat diamalkan. Supaya kebaikan itu berterusan menjadi amal yang mendekatkan-Ku dengan redha-Mu ya Allah.

Alhmdulillah, terima kasih Ya Allah, kerana mengizinkan kami datang dan pulang dengan selamat, walaupun memandu dalam keadaan kepenatan selepas seharian tadi bekerja.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah, kerana memberiku segala - galanya untuk aku melakukan ketaatan kepada-Mu. Kemudian dengan ketaatan yang kulakukan menggunakan nikmat-Mu itu, kau berikan pula aku nikmat dan kebaikan. Subhanallah, Ya Rahman Ya Rohim.

Thanks a million...... Allah!