Saturday, 25 September 2010

Bicara cinta kakak

Adikku
tadi sebelum mata kita bertautan 
hati kakak sebenarnya berdebar kencang
bimbang kalau kedatangan kakak ini
bakal merobek amanmu
kerana kunjungan kakak ini tiba-tiba
bukan diundang, bukan dijemput

Adikku
saat kakak menjengahkan wajah
riak wajahmu jelas girang
seakan susuk ini sangat kau nanti sekian lama
mesra bicaramu menyapaku adik
sukar dipercaya yang kita baru berkenalan
ternyata kerisauan tadi sia-sia
kakak terlupa barangkali
bahawa kau insan yang ditarbiyyah

Adikku
mendengar kau petah berbicara
tentang dakwah dan tarbiyyah
penuh semangat tiada ragu
menyusun strategi mengorak langkah
agar matlamat kita bisa jadi nyata
sungguh kakak sangat gembira
setiap teletahmu bagai bunga-bunga
mekar penuh warna di taman hati
harum bunga itu bagai terapi jiwa
menenangkan, membahagiakan

Adikku
sukar mencari ketenangan seperti ini
saat bertemu adik kandung sendiri
melihat adik masih akrab dengan fantasi dunia
masih alpa bermain dalam dunia sempit
sungguh kakak sangat bimbang
bimbang adik akan terus hanyut
bimbang kakak akan terikut
kerana memang sifat tarikan syaitan
beribu kali ganda lebih mudah melekat ke hati
berbanding tarikan iman

Adikku
kebimbangan yang menggunung ini
rasanya sudah meletus menjadi amarah
menghamburkan lava panas yang memusnahkan sabar
acap benar kakak melenting
sehingga keakraban dicemari retak
kakak mohon maaf atas kesilapan ini
kakak akan belajar lagi
agar lebih ikhlas dan berhikmah dalam berusaha
dan lebih bertawakkal pada Allah dalam menanti

Adikku semuanya
tempatmu dihatiku sangat istimewa
khas untuk orang-orang
yang kucintai hanya kerana Allah
cinta ini tidak dibatasi dunia yang sementara
cinta ini luas hingga ke akhirat yang abadi
tapi cinta kakak ini tetap kerdil
tidak mampu memberikan
setiap apa yang kau cita dan cinta

Adikku semuanya
semoga Allah tak akan pernah henti
menganugerahkan kau dan aku
hidayah dan taufiq-Nya
disepanjang perjuangan hidup kita
agar dipenghujung perjuangan ini
ada cinta Allah yang menanti
yang pasti akan menunaikan
cita dan cinta kita

Maaf, tiada gambar adik dalam simpanan. Yang ada hanya gambar kucing kesayangan mereka.

2 comments:

  1. ok la kakak, pasney org kurangkan la sket tgk cite korea tuh.. nak ckp kt org la tuh.. ^~^

    ReplyDelete
  2. heheh alhamdulillah..
    semoga berubah kerana faham, bukan kerana paksa..
    dan semoga Allah mudahkan segala urusan.. amin =)

    ReplyDelete