Showing posts with label my eye sees my heart feels. Show all posts
Showing posts with label my eye sees my heart feels. Show all posts

Wednesday, 15 June 2011

Selamat jalan ukhti

Pagi ini saya menerima berita pemergian seorang "ukhti", kembali menemui Tuhannya. Innalillahi wa innahi rajiun.

"Ukhti" atau "akhawat" itu adalah panggilan kami untuk mereka yang menceburkan diri ke dalam lapangan dakwah islam, demi cita-cita untuk mengembalikan sistem khilafah islamiyyah. Panggilan ini untuk perempuan sahaja, "ukhti" itu untuk seorang atau singular, dan "akhawat" itu ramai atau plural. Bagi lelaki, panggilannya adalah "akhi" atau "ikhwah".  

Ukhti Ummirul Shahirah. Indah nama ini. Keindahan yang menceriakan banyak hati, sehingga pemergiannya menghapuskan banyak senyuman.

Saya tidak tahu bagaimana rupanya allahyarhamah ukhti ummi ini, kerana sepanjang hayatnya kami tidak pernah sekali pun bertemu. Hatta nama pun tidak pernah di dengar. Kami tidak kenal pun antara satu sama lain. Barangkali hari ini kalau saya menghadiri majlis pengebumiannya, semua orang akan memandang saya dengan pelik, "Orang asing ini daripada mana pula datangnya?". Ya mungkin sekali, kerana saya bukan sahaja orang luar bagi ukhti ummi, tetapi bagi kenalan-kenalannya juga.

Tapi peliknya, kenapa hati ini turut terasa tempias kesedihan atas pemergiaannya? Malah lebih sedih dari kesedihan menangisi pemergian ahli keluarga sendiri. Gilakah?

Jawapannya saya kira, ada pada panggilan yang diberi untuknya, "Ukhti". Itu bukan calang-calang panggilan.. itu panggilan untuk penolong-penolong agama Allah, arabnya disebut sebagai "Ansarullah". Merekalah yang bercita-cita menegakkan kembali khilafah islamiyyah, menakluki dunia dengan Islam. Itu cita-cita yang sangat besar! Yang hanya menjadi angan-angan mat jenin kalau tiada kesatuan di antara Ansarullah.

Maha Suci Allah, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia telah mengikat hati-hati Ansarullah ini dengan ikatan akidah, yang mewujudkan ukhuwwah yang begitu kuat dan kukuh. Ahhh indah sekali ukhuwwah ini. Yang paling indah di antara sekian banyak ikatan hubungan yang ada di dunia ini. Inilah ukhuwwah yang menghubungkan dua insan dengan iman. Inilah ukhuwwah yang mewujudkan rasa kepercayaan dan kasih sayang yang tinggi antara dua hati, walau baru pertama kali bertemu. Inilah ukhuwwah yang menghilangkan rasa 'seniority', sebaliknya menyuburkan rasa rendah hati dan berlapang dada. Inilah ukhuwwah yang tak betah melihat sesiapa sahaja terjerumus ke lembah dosa, ia mahu semua sama-sama ke syurga. Inilah ukhuwwah yang mewujudkan satu kesefahaman, walaupun sahabatnya itu jauh berbeza dengannya.

Inilah ukhuwwah yang menerbitkan cinta yang mendalam di hati setiap ikhwah akhawat untuk ihkwah akhawat yang lain. Meskipun tidak pernah berjumpa, tidak pernah saling mengenali.. tapi cinta ini memang sudah menguasai hati.

Cinta yang ada untuk Ukhti Ummi Shahirah, membuatkan hatiku rasa kehilangan..
Hari ini, kami kehilangan seorang lagi sahabat seperjuangan yang kami cintai kerana Allah..

Semoga rohmu tenang di sana, di sisi Tuhanmu yang kau cintai..
Ya ukhti, semoga inilah saat untuk kau berisitirehat setelah berhempas pulas berjuang di alam dunia ini..

*********

Ya Allah, sesungguhnya Engkau memang Maha Penyayang. Tali akidah yang Engkau gunakan untuk mengikat hati-hati para penolong-Mu ini telah mewujudkan kesatuan yang luar biasa hebat, yang sangat diperlukan untuk merealisasikan cita-cita besar.




p/s: dari sudut bahasa, "Ukti" & "Akhi" itu bermaksud saudaraku dan "Akhwat" dan "Ikhwah" pula bermaksud saudara-saudara. Hanya dikalangan kami sahaja panggilan-panggilan ini membawa maksud seperti yang dijelaskan di atas. Harap jangan keliru ya! =)

Tuesday, 24 May 2011

Lelaki asid: Apa kata Al-Quran?

Dua hari ini, saya terpaksa menaiki kenderaan awam untuk ke tempat kerja. Berlari-lari mengejar KTM Komuter, berhimpit-himpit macam dalam tin sardin, berpeluh-peluh bila sampai pejabat.. semua itu "Elleh, dah biasa dah!". Isu kecil saja. Isu besar sekarang adalah isu lelaki asid yang sedang menghantui wanita-wanita sekitar KL!

Grrrrrrrr.. disebabkan lelaki ini saya terpaksa berjalan dari stesen LRT STAR ke pejabat dengan hati yang berdebar-debar rasa nak tercabut. Mata tak lepas yang memandang setiap muka penunggang motor, takut-takut sama dengan muka suspek lelaki asid. Langkah diatur dengan sedaya upaya dielak daripada berjalan di gigi-gigi jalan, seboleh-bolehnya berjalan di lorong-lorong kaki lima.. yang pastinya lebih jauh daripada biasa. Bila sampai pejabat, rasa lega macam baru terlepas dari dibaham harimau lapar huhu. Alhamdulillah selamat sampai.. phewww!

Trend

Pertama kali saya mendengar tentang jenayah simbah asid ini adalah beberapa tahun lalu. Kes berlaku apabila seorang isteri mengamuk bila mendapat tahu suaminya ingin berkahwin lain. Akibatnya, sang isteri menyimbah asid ke muka suaminya, menyebabkan suaminya cacat kekal. Sejak itu, simbah asid bagaikan idea baru untuk berlaku untuk menzahirkan rasa marah, dendam atau tidak puas hati. Sana sini banyak amarah yang dilempiaskan dengan menyimbah asid ke muka orang yang dibenci. Tiru meniru mungkin. Sehingga dewasa kini, asid digunakan untuk melakukan jenayah bersiri, yang entah apa motifnya.

Cerita jenayah dalam Quran

Barangkali apa yang berlaku kini adalah kesilapan kita juga. Kerana kita banyak mendedahkan kes jenayah atau perbuatan jahat secara terperinci di dada akhbar, televisyen, komik penyiasatan, filem dan banyak lagi wadah media massa. Mari lihat bagaimana Allah menceritakan jenayah yang dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf as terhadap adik mereka, Nabi Yusuf as.

Surah Yusuf, 12: 7-18

[7] Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar). 

[8(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata."

[9(Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna".

[10] Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu".

Kisah dimulakan dengan menceritakan rasa tidak puas hati abang-abang Nabi Yusuf terhadap Nabi Yusuf, walhal Nabi Yusuf pada ketika itu masih kecil dan sudah selayaknya mendapat perhatian ayah yang lebih daripada abang-abang yang sudah besar dan sudah pandai mengurus diri sendiri. Kisah dilanjutkan dengan rancangan para abang untuk menghapuskan Nabi Yusuf dari keluarga mereka agar perhatian sang ayah sudah tidak ada lagi untuk adik mereka Yusuf.

[11] Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?

[12] Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".

[13] Bapa mereka menjawab: "Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya ".

[14] Mereka berkata: "Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi".

Kisah diteruskan dengan penceritaan panjang lebar tentang bagaimana abang-abang Nabi Yusuf berusaha keraas untuk memujuk ayah mereka, Nabi Yakub, agar membenarkan mereka membawa adik kecil mereka Nabi Yusuf keluar bermain-main. Segala kata-kata manis ditaburkan agar ayah mereka bersetuju.

[15] Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan kami pula ilhamkan kepadanya:" Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) ".

Lihatlah ayat 15 ini, bagaimana Allah menceritakan perihal jenayah yang berlaku dengan terlalu ringkas, tersangat ringkas jika dibandingkan dengan perincian rasa dendam, rancangan jahat yang diatur dan bujukan-bujukan si abang untuk mendapat izin ayah seperti yang terlihat pada ayat-ayat sebelumnya. Yang kita tahu daripada ayat ini hanyalah Yusuf yang berjaya dibawa keluar dan kemudian dijatuhkan kedalam perigi. Kemudian Allah memberi ilham kepada Yusuf.

Bagaimana Yusuf dijatuhkan? Maaf, ia tidak diceritakan. Nah! beginilah Al-Quran mengajarkan bagaimana untuk bercerita tentang perbuatan jahat yang berlaku. Perihal bagaimana perbuatan jahat itu dilakukan tidak diperincikan, agar orang-orang yang mempunyai penyakit di dalam hatinya tidak mendapat idea untuk melakukan kejahatan daripada cerita-cerita sebegini. Yang ada dari kisah Al-Quran ini adalah pelajaran ke arah kebaikan, bukan pelajaran ke arah kejahatan.

Mari muhasabah, apa yang telah didedahkan kepada masyarakat sekarang?

Belajarlah dari Al-Quran.. kerana hanya disitu letaknya kunci kesejahteraan dan keharmonian sejagat!

Credit

Tuesday, 22 March 2011

Hujung jalan

Pagi tadi saya berkunjung ke blog milik seorang rakan yang dikenali ketika sama-sama mengambil jurusan bioteknologi di Monash University. Sudah lama blog ini tidak dikemaskini. Entry terakhir bertarikh 24 Januari 2010, iaitu lebih kurang setahun dua bulan yang lalu!

Dan saya tahu pemilik blog ini tidak akan lagi mengutus entry baru ke blognya yang lama sudah bersawang. Kerana sejak setahun dua bulan yang lalu, dia sudah meninggalkan alam dunia yang fana ini!

Masa itu sangat pantas berlalu. Terasa baru saja menerima berita pemergiannya yang menggemparkan seluruh isi rumah. Terasa baru saja selesai menulis entry khas untuknya dan menekan butang "Publish Post" agar entry itu terpampang di ruangan HeartySays untuk diambil iktibar bagi yang masih hidup. Terasa baru sahaja berkongsi rasa sedih bercampur terkejut bersama-sama kawan-kawan sekuliah, sama-sama berkongsi rasa tidak percaya yang kami sudah kehilangan seorang kawan sekelas!

Masa tersangat pantas bergerak tanpa henti, sedang diri selalu leka dan lalai dalam kesibukan dunia yang menguji keteguhan iman. Bekalan amal terasa terlalu lambat bertambah, sedang siang terlalu pantas menemui malam lalu mengurangkan satu lagi hari untuk hidup di dunia. 

Sesungguhnya peringatan dari Allah itu sudah terlalu banyak. Maka wahai diri ambillah pengajaran sebelum ruh meninggalkan jasad dan taubat sudah tidak lagi diterima!

Sesungguhnya dunia ini akan selalu melarikan fokus kita dari kematian dan hari akhirat. Maka minta lah bantuan Allah untuk menetapkan hati agar tak hanyut dibuai arus dunia...

رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةً‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya. (Al-imran 3:8)

...dan bergaullah dengan orang-orang soleh yang sentiasa saling memperingatkan kita tentang kematian dan akhirat...

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ(3

Demi Masa! [1] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian [2] Kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran [3] (Al-Asr, 103: 1-3) 

... dan sentiasalah berpegang kepada pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah untuk kita.

تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا اِنْ تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا لَنْ تَضِلُّوْا اَبَدَ كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِى

Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya nescaya kamu tidak akan sesat ,iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku

Semoga nyawa kita diambil dalam keadaan husnul khatimah, dan semoga kita tidak menyesali hari-hari kita di dunia ini.

إِنَّا أَنذَرْنَاكُمْ عَذَاباً قَرِيباً يَوْمَ يَنظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَاباً

Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)". (An-Naba', 78: 40)

Sunday, 20 March 2011

Belajar dari Tsunami 11/3/2011

JEPUN cenderung dilanda bencana, sering digegarkan dengan gempa bumi, ditaburi lebih daripada 100 gunung berapi dan dihambat taufan, ancaman bencana lama dianggap hanya sebahagian daripada kehidupan mereka.

Kenangan terhadap malapetaka silam membuatkan kira-kira 128 juta penduduk Jepun dan kerajaannya lebih bersedia menghadapi malapetaka berbanding kebanyakan negara lain....

.... Apapun, persediaan keselamatan dilakukan dengan latihan berulang kali dan aspek penting iaitu kekayaan negara berkenaan membolehkan pembinaan bangunan dan infrastruktur tahan gempa yang mahal, menyelamatkan beribu-ribu nyawa dalam tempoh beberapa dekad ini, kata pakar.

"Jika ada mana-mana tempat di dunia yang bersedia untuk bencana dalam skala dan skop malapetaka bersejarah ini, ia adalah Jepun," kata Perunding Kanan Penyelidikan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Stacey White.....

Baca lagi --> Bahasa Melayu / English
Credit

Gempa bumi yang berlaku di perairan berdekatan Sendai itu, sebenarnya merupakan penantian orang-orang Jepun. Semasa HE (penulis) di sana, kami diulang siar dengan ramalan akan berlaku gempa besar di Jepun dalam tempoh dua tiga tahun ....

.... . Malah mereka juga sering mencari jangkaan dan ramalan dari peramal terkenal seperti Juselino Nobulega. Mereka juga menyediakan laluan-laluan untuk mengalirkan ombak tsunami dan menyediakan bangunan yang tahan gempa ....

.... Kejadian gempa dan tsunami di Jepun memperlihatkan bagaimana satu pengurusan bencana yang teratur dan cekap. Malah pendidikan kebencanaan terhadap rakyatnya sudah menjadi sebati. Bila kejadian seperti ini, mereka masih dapat mengawal diri. Mereka boleh beratur untuk mendapatkan barang makanan, petrol dan keperluan asas. Walaupun bekalan elektrik dicatu pada saat ini, mereka tetap mematuhi peraturan dan tidak bersikap pentingkan diri sendiri. Ada di antara mereka membuat sedekah dan membantu pada yang menjadi mangsa tsunami. Ini adalah sikap dan pengurusan yang perlu dicontohi.

Baca lagi di sini
Credit

Jepun, sebagai negara termaju di dunia dengan rakyatnya yang terkenal berdisiplin ternyata sudah lama belajar daripada bencana alam itu. Mungkin kerana itu, angka kematian dan jumlah kemusnahan akibat kejadian Jumaat lalu masih boleh dianggap kecil berbanding kekuatan gempa dan kedahsyatan tsunami yang melanda....

.... Setiap 1 September pula, sempena memperingati gempa bumi 1923, jutaan rakyat Jepun menyertai latihan menghadapi bencana anjuran pihak berkuasa tempatan di daerah masing-masing. Kanak-kanak sekolah memakai penutup kepala dan berlatih berlindung di bawah meja. Warga tua diingatkan supaya memilih tempat untuk bertemu dengan orang tersayang sekiranya terpisah ketika bencana. Kedai pula menjual peti kecemasan mengandungi air, lampu picit dan makanan tahan lama.

Kita sendiri dapat menyaksikan siaran televisyen bagaimana rakyat Jepun agak tenang ketika menghadapi saat-saat cemas ketika menghadapi gegaran itu – sama ada di sekolah, rumah, pejabat dan di dalam pasar raya.

Murid terus memakai pelindung kepala dan berlindung di bawah meja sebaik saja merasai gegaran. Pekerja pejabat yang keluar dari bangunan juga dilihat memakai alat pelindung kepala, tindakan yang sudah menjadi sebahagian daripada piawaian keselamatan di tempat kerja ketika menghadapi gempa kuat. Malah penyampai berita televisyen tempatan juga dilihat memakai topi keselamatan ketika bertugas.

Baca lagi di sini.
Credit

Allah itu Maha Berkuasa

Manusia itu sesungguhnya sangat lemah untuk melawan kehendak Allah. Walau bagaimanapun kita cuba menghalang sesuatu daripada terjadi, namun jika Allah tetap mahu ia terjadi, maka tiada siapa pun dapat menghalang. Itulah tanda kekuasaan-Nya.

Say, "He is the [one] Able to send upon you affliction from above you or from beneath your feet or to confuse you [so you become] sects and make you taste the violence of one another." Look how We diversify the signs that they might understand.

But your people have denied it while it is the truth. Say, "I am not over you a manager."

For every happening is a finality; and you are going to know.

(Surah Al-An'aam: 65-67)

Bukan milik kita

Hidup manusia seperti roda, adakalanya dia di atas dan adakalanya dia dibawah. Hal ini kerana manusia tidak mempunyai kemilikan penuh ke atas semua yang dimilikinya didunia ini. Segalanya adalah pinjaman daripada Allah yang berhak mengambil semula pinjamannya apabila Dia berkehendak. Hari ini kita muda, bertenaga kuat, badan sihat, mata melihat dengan terang, telinga mendengar dengan baik, duduk berdiri semuanya dapat dibuat tanpa rasa sengal-sengal otot. Tapi esok siapa tahu, kalau-kalau kita kemalangan dan nikmat sihat diambil semula? Seperti halnya dengan Jepun. Siapa sangka kedamaian dan kemajuannya direnggut sekelip mata oleh keganasan tsunami yang tak mengenal belas.

Indeed, they are enemies to me, except the Lord of the worlds,

Who created me, and He [it is who] guides me. 

And it is He who feeds me and gives me drink.

And when I am ill, it is He who cures me

And who will cause me to die and then bring me to life

(Ash-Shu'ara', 26: 77-81)

Belajar dari sejarah
 
Jepun belajar dari sejarah, lalu ia memperbaki persediaannya menghadapi bencana alam sehingga Jepun berjaya mendahului semua negara. Akhirnya bila bencana menimpa lagi, sekurang-kurangnya mereka berjaya mengurangkan kesan akibat bencana, walaupun tidak dapat menghalang bencana daripada terjadi.
 
Begitu juga, kita tidak patut membiarkan apa sahaja yang berlaku berlalu begitu sahaja ditelan masa, melainkan kita mengambil sebanyak mungkin pelajaran dan kemudian menggunakannya dalam usaha memperbaiki kehidupan di dunia dan akhirat.  


O you who have believed, fear Allah . And let every soul look to what it has put forth for tomorrow - and fear Allah . Indeed, Allah is Acquainted with what you do. (Al-Hasyr, 59, 18) 

Tuesday, 15 February 2011

Dear lover, I love you


!4 Februari 2011 adalah Velentine's Day, hari memperingati kekasih.
15 Februari 2011 adalah Maulidur Rasul, juga hari memperingati kekasih.
Sama tapi tak serupa. Malah jauh berbeza.Contradict!

yang mana satu kekasihmu?
yang mana satu beraja dihatimu?
yang mana satu menguasai fikiranmu?
yang mana satu diredhai Tuhanmu?

Akhbar kita entah apa-apa

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah. Tengah malam 12 Feb 2011 pasti akan diingati oleh dunia apabila ditaktor angkuh Hosni Mubarak akhirnya terpaksa tunduk dengan kehendak rakyatnya agar beliau meletak jawatan. Siapa sangka ditaktor yang yang berjaya bertahan selama 30 tahun akhirnya tumbang hanya dengan suara rakyatnya. Memiliki harta sebanyak USD70billion, kawan baiknya Amerika dan Israel.. sayangnya tiada siapa yang dapat membantu Mubarak mengekalkan kuasanya.

"Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Al-Imran: 26)

Apa pun post kali ini bukan untuk bercerita panjang lebar pasal Mesir, memandangkan tak best pun kalau saya cerita.. sebab tak banyak pun yang saya tahu.. Tapi saya boleh share blog terbaik untuk bacaan anda, kalau nak tahu tentang Tunisia klik sini dan tentang Mesir klik sini. Sana sini situ sinun!

Akhbar kita entah apa-apa

Sudah bertahun saya tidak membeli akhbar. Rasanya. Tapi dengan tiba-tiba semangat untuk membeli akhbar berkobar-kobar apabila tercetusnya kebangkitan rakyat di Tunisia yang kemudian merebak ke Mesir. Kebangkitan rakyat ini sememangnya cerita 'HOT", apalagi ia mempertaruhkan masa depan umat islam keseluruhannya jika dianalisa daripada pelbagai sudut. 

Maka, buat julung-julung kalinya selepas bertahun-tahun, tibalah hari bersejarah saya membeli surat khabar. Hari itu 2 Februari 2011, saya tercegat dihadapan naskhah-naskhah akhbar di sebuah kedai.. rambang mata mahu membeli mana satu. Antara banyak-banyak akhbar yang dijual, malangnya hanya akhbar you know what (bukan nama sebenar) yang memaparkan cerita Mesir di muka surat depan. Yang lainnya bercerita tentang banjir. 

Maka, boleh dikatakan saya tidak perlu membuat pilihan untuk membeli memandangkan saya hanya tertarik dengan akhbar you know what sahaja. Bukan tidak mahu tahu tentang saudara kita yang dilanda banjir, tapi saya yakin keadaan mereka jauh lebih baik daripada saudara kita di Mesir yang sudah dizalimi selama 30 tahun. Tetapi, saiz akhbar akhbar you know what ini sangatlah besar dan menyusahkan pula kalau hendak dibawa ke sana sini. Malah, sungguh tidak bersopan pula rasanya untuk dibaca di office huhu.. kantoi  la kan.

paper tahun bile ntah neyh. . (credit gambar)
Terpaksa, saya pun membeli akhbar the chosen (nama tipu-tipu) dengan harapan kalau pun bukan cerita Mesir di muka hadapan, biar ceritanya mendominasi bahagian tengah. Selesai membeli, saya ke kedai makan bersama rakan-rakan sepejabat untuk bersarapan bersama. Sementara menunggu makanan, saya dengan penuh teruja menyelak akhbar tadi. Helaian demi helaian diselak, sayangnya tidak ada cerita Mesir. Hingga ke helaian terakhir, hanya ada sedikit sahaja cerita Mesir. Terlalu sedikir, seolah-olah isu Mesir ini langsung tidak penting dimata Malaysia. Picisan cuma!! Padahal ia menentukan nasib bukan sahaja rakyat Mesir, tetapi tanah arab, Palestin dan seluruh umat Islam amnya. 

Malaysia ini diwar-warkan sebagai negara Islam, tapi sangat sedikit sensitiviti terhadap saudara seislamnya. Maka layakkah kita bergelar negara Islam? Jangan perasan! Peranan media dalam membentuk pemikiran masyarakat memang sudah diketahui umum. Maka tidak hairan jika berita kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir disambut biasa-biasa sahaja oleh masyarakat kita. Mereka tetap lebih berminat bersembang dan berfikir tentang gosip artis, tentang persiapan majlis kahwin, tentang movie, tentang kucing, tentang baju, tentang cinta, tentang bola dan banyak lagi hal remeh temeh. Kasihan masyarakat kita sudah diserang dengan serangan pemikiran (ghazwatul fikr)!
"Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil." (Al-Hujurat:9)

Bagaimana mahu memerangi golongan yang menganiaya, seterusnya melaksanakan ayat ini kalau tidak tahu cerita?