Monday 17 June 2013

Virus cinta TV

Saya sangat jarang menonton TV. Sejak dari zaman universiti lagi, TV memang tidak ada tempat di dalam rumah. Mungkin kerana internet memberi lebih banyak alternatif yang memenuhi cita rasa, maka TV dirasakan sudah tidak perlu. Namun kepulangan ke rumah ibu dan ayah pada cuti sekolah pertengahan tahun yang lepas, membuatkan saya 'membuka' TV semula. 

Rasanya tidak perlu diperjelaskan tentang betapa besarnya pengaruh TV dalam membentuk pemikiran masyarakat. Apa yang didedahkan oleh TV saban hari, itulah yang 'melekat' dalam memori masyarakat. Maka adalah sangat tidak wajar untuk mengambil mudah setiap isi yang ingin diketengahkan dalam setiap program TV. Namun, siapa yang memberi perhatian tentang ini?

Antara drama-drama yang saya sempat tonton sebelum cuti berakhir, rata-ratanya menonjolkan suasana kehidupan yang lari dari batasan syariat Islam. Saya bukan berbicara tentang cerita korea atau cerita hindustan, tapi ini tentang drama melayu, yang mana barisan pelakonnya beragama Islam.

Ada banyak babak dari drama-drama melayu ini yang menyentap iman. Antaranya babak seorang teman lelaki menjaga teman wanitanya yang demam. Dalam satu rumah yang tidak ada orang lain melainkan mereka sahaja. Amboi! Juga babak seorang wanita yang kecewa dengan teman lelakinya, lalu mencari ketenangan dengan mengunjungi pub! Hei, amalan orang islamkah itu? Malah, pasangan kekasih TV kini sudah berani beraksi berpelukan erat, sesuatu yang suatu masa dahulu hanya ada dalam cerita korea atau hindustan sahaja. Terasa seperti tidak ada beza menonton hasil karya orang islam dengan orang bukan islam.

Malah, drama kita sekarang sudah banyak mengangkat kes tangkap basah sebagai pintu atau peluang untuk memiliki cinta sejati. Bermula dengan ditangkap basah akibat terjerat ataupun mabuk, plot cerita bergerak dari sebuah keterpaksaan kepada cinta yang mengasyikkan. Jalan cerita yang sebegini, selalunya akan menarik ramai orang untuk duduk menghadap TV. Namun sedarkah kita, kita sedang menghidangkan sebuah kisah cinta yang bermula dengan maksiat, yang mana kalau benar berlaku di dunia realiti, pastinya rumah tangga itu jauh dari redha Ilahi.

Mungkin ada yang akan berkata "Ahh, itu hanya lakonan!"
Ya benar! Tapi mesej dari lakonan itu akan 'melekat' di dalam memori.
Takut-takut nanti masyarakat kita sudah tidak menganggap berzina itu sebagai dosa besar. Bahkan mungkin anak muda kita akan sengaja mempergunakan jabatan agama untuk menangkap basah mereka, supaya mereka dapat kahwin mudah dengan orang yang dicintai. Kerana dosa yang diulang berterusan, lama-lama akan dianggap sebagai kebiasaan.


Lebih dari itu, sebagai guru saya melihat perkara ini adalah batu penghalang kepada keberkesanan pendidikan islami kepada masyarakat. Bagaimana mungkin masyarakat akan dicorakkan sepenuhnya dengan islam yang syumul, sedangkan saban hari minda dan pemikiran mereka dicemari dengan maksiat. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, dan cahaya Allah itu tidak akan dapat kepada mereka yang melakukan maksiat.