Sunday 24 February 2013

Bertatihlah bersamaku

Saya menonton filem "Taare Zameen Par" semalam. Pertama kali menontonnya secara penuh. Filem yang terasa dekat dihati. Mungkin kerana ia berkisar tentang karier yang sama seperti saya. Seorang guru. Seorang pendidik.

Kebiasaannya di mana-mana pun sekolah, guru akan berhadapan dengan berpuluh-puluh orang pelajar untuk diajar dalam satu-satu masa. Jika didalam kelas tersebut mempunyai 27 orang pelajar, maka guru berhadapan 27 kemampuan dan kebolehan yang berbeza untuk dibawa kepada satu kefahaman yang sama.


Selalu berlaku apabila guru mengajar A sehingga Z, hanya 5 orang sahaja yang dapat menguasai sepenuhnya A sehingga Z. Selebihnya mungkin 6 orang A sehingga D. 3 orang C sehingga F dan seterusnya. Maka selepas penerangan kepada seluruh kelas, guru harus mengambil inisiatif untuk mendekati setiap pelajar dan memastikan semuanya memahami A sehingga Z.


Dan hal ini akan menyebabkan guru harus mengulang pelajaran yang sama berulang-ulang. Mengulang dengan cara yang sama atau mungkin harus mencari analogi lain supaya kefahaman itu sampai kepada pelajar-pelajarnya. Kadang-kadang apabila pelajar tersenyum yakin bahawa dia faham, ternyata latihan-latihannya membuktikan bahawa ia belum faham sepenuhnya. Maka guru harus mengulang lagi, dan lagi. Sehingga terkadang guru melangkah longlai saat keluar dari kelas, kerana kepenatan.


Dan ternyata kepenatan guru itu tidak berhenti di situ. Latihan-latihan pelajar tadi harus disemak, supaya dia tahu tidak ada seorang pun yang tercicir kefahamannya. Malah kadang-kadang harus berkorban masa di luar waktu kerja, untuk memberi perhatian kepada pelajar yang sangat lemah supaya dia tidak ketinggalan. Menerangkan sesuatu kepada pelajar lemah bukan sesuatu yang mudah, harus bertatih bersama-samanya melangkah perlahan-lahan dari A sehingga Z.


Itulah kerjaya seorang pendidik. Dari kaca mata saya. Hatinya mesti diselaputi dengan dengan selimut sabar yang tebal, kemahuannya harus ditemani dengan kegigihan yang tinggi, ilmunya harus dilengkapi dengan idea-idea kreatif untuk menyampaikan faham. Meski dia mampu berlari, terkadang dia harus bertatih bersama-sama dengan anak didiknya, semata-mata untuk memastikan yang anak didiknya itu pun sampai juga ke garisan penamat.


Penat? Ya, tentulah! tapi itulah kebahagiaan bagi seorang pendidik. Bahagia melihat anak didiknya mampu berdiri sendiri melakar diari hidup yang cemerlang. Bahagia menanam benih-benih amal untuk dituai hasilnya di akhirat kelak. 


Dunia pendidik, di dalamnya bukan hanya ada guru, tapi juga ada ibu, ayah, kakak, abang, naqib, naqibah, murabbi malah sesiapa sahaja yang mahu kebaikan yang ada pada dirinya dikongsi dengan orang lain.



Satu-satunya kekuatan bagi sang pendidik ialah Allah, yang kepada-Nya dipohon agar memenuhkan hatinya dengan kasih sayang kepada semua anak didiknya walau bagaimana pun ragam mereka. Kerana amat sukar sekali mendidik tanpa rasa kasih sayang. Kepada-Nya juga dipohon agar dikurniakan kesabaran, kekuatan dan ilham-ilham untuk menyampaikan faham. Kepada-Nya juga ditautkan tawakkal, moga-moga ilmu yang dikongsikan mampu menerangi perjalanan anak didiknya menuju ke syurga.

Love to see you happy =)

Friday 22 February 2013

betulkah ini?

saat perjuangan dirasakan sudah lama
saat lelah dirasakan menyekat nafas
hati mula bertanya kembali
pada soalan yang dulu dijawab yakin
tapi kini kembali kelabu

benarkah pilihanku ini?

pada puluhan pilihan masa depan
ku pilih guru sebagai kerjaya
dengan niat besar
ingin menyumbang setiap saat hidupku
untuk ummah dan islam

benarkah itu yang ku perbuat?

kiri kanan kucuba memerhati
semuanya nampak sama seperti dulu
entah mana kesannya kehadiranku ini
ada tak bertambah, tiada tak berkurang

saat ini aku pun menjadi tidak pasti
pada rentak langkah yang ku atur hari-hari
apakah makin mendekat
atau makin menjauh dengan niat asalku dulu..

O Allah, guide me to the straight path.

bila dia mahu pindah

"Cikgu, saya mahu pindah sekolah"

Saya selalu tidak pasti apa perasaan yang patut saya rasa saat berhadapan dengan situasi ini.


Sedih? Tapi kan pelajar ini akan ke tempat baru, di sana dia akan berhadapan dengan pangalaman-pengalaman baru yang pastinya sangat bermakna dalam perjalanannya mencari erti hidup.

Kalau begitu patutkah saya berasa gembira? Tapi pelajar ini akan ke sekolah baru yang tidak pasti warna didikannya bagaimana. Islamkah? Sekularkah? 

Jadi apa yang patut saya rasa saat pelajar mengucapkan jazakillah dan selamat tinggal?
Tiada jawapan.

Yang ada hanya doa dan tawakkal kepada Allah Maha Pelindung. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk pelajar ini dalam meraih redha-Nya, serta memenuhkan hati pelajar ini dengan iman yang benar dan  teguh agar walau apa pun yang bakal ditempuhinya, iman itu akan melindunginya dari tergelincir dari jalan menuju syurga.

Cikgu sayang selalu pelajar cikgu =)