Sunday 29 December 2013

Wow, untung saudara!

Seorang saudara diejek dengan dahsyat.
Kerana dakwahnya.

Wow, untung saudara!
Kerana memang seperti itukan dakwah ini?
Memanaskan telinga bagi yang tidak mahu mendengar
Menyakitkan mata bagi yang tidak mahu melihat
Menyesakkan dada bagi yang tidak mahu memahami

Jadi apa perlunya bersedih
Saat dakwah ini mendatangkan ejekan dan nista
Itu maknanya dakwah ini sudah sampai ke banyak telinga
Bukan hanya didengar oleh orang-orang baik sahaja
Untunglah saudara!
Wow!!

Saya teringat saudara
Tentang Rasullullah, cinta kita
Sejak dari mula dakwah baginda
Kan tidak pernah sunyi
Dengan ejekan dan nista
Malah diugut bunuh
Dibaling najis
Diboikot
Dan banyak lagi

Maka siapa kita
Untuk sentiasa mengharap
Agar dakwah kita
Ditaburi puji dan sorak?

Saudara, mari contohi Rasulullah
Sabar dan teruskan dakwah ini
Jangan mengalah kerana ujian ini
Jangan berundur hanya kerana ujian ini
Jangan berhenti hanya kerana ujian ini
Jangan marah-marah
Berlapang dadalah selalu
Pelangi… kan selalu ada selepas hujan? =)

Sunday 20 October 2013

Mana satu cikgu?

Tadi alhamdulillah ada masa sikit dapatlah baca buku sekejap. Kali ini saya baca buku pasal cikgu-cikgi  since I'm a teacher. 

Baca punya baca, then saya jumpa ayat ni...

Ayat yang di'highlight' tu

Bila baca je ayat ini, tiba-tiba saya terfikir...

"Eh mana satu yang sepatutnya diutamakan? Mengajar silibus akademik ke, memperbaiki akhlak ke?"

"Kalau saya cuma ada masa 15 minit dan saya  perlu pilih sama ada nak gunakan masa itu untuk habiskan silibus Matematik bab 13 yang masih belum sempat diajar lagi walaupun esok dah SPM dan soalan Bab 13 confirm masuk. ATAU, saya nak gunakan masa tu untuk slow-talk dengan pelajar saya yang walaupun esok dah nak SPM, lepas tu confirm keluar sekolah kan, tapi masih tidak pandai hormat orang yang lebih tua"

Kalau saya cuma ada 15 minit tu je untuk pelajar saya, lepas 15 minit memang tidak akan berjumpa lagi, mana satu yang saya nak pilih?

Saya akan pilih yang kedua. Sebab pelajar saya tetap boleh berjaya walaupun gagal Matematik SPM tapi pasti akan dibuang kerja sana-sini kalau tidak pandai  hormat orang tua, dia pasti akan disisih masyarat dan kalau itu terjadi, bagaimana dia mahu melaksanakan tugasnya sebagai abid dan khalifah Allah?

Jadi kesimpulannya, saya rasa saya tak berapa setujulah dengan ayat di atas. Haha suka hati je.

Bagi yang akan, sedang atau telah baca buku tu, hati-hati ye, jangan terima bulat-bulat apa yang anda baca. Fikir dulu =)

Yang besar-besar

Di dalam sekolah yang ada pelajar dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5, saya selalu memilih untuk bercakap hal-hal besar kepada yang sudah besar-besar juga. Heh.. I mean to those in form 4 and form 5.

Hal-hal besar? Hmm contohnya kenapa kita diciptakan, apa tujuan sebenar Allah ciptakan kita, kenapa silibus pelajaran kita nampak macam sekular, apa neraca kita untuk pilih hala tuju hidup dan sebagainya...

Dan selepas bercakap hal-hal besar tersebut pung pang pung pang... tentunya saya meletakkan harapan yang besar-besar juga pada mereka. Saya mahu mereka jadi daie dan guru. Atau jadi daie dan tentera. Atau daie dan doktor. Atau daie dan businessman. Atau daie dan housewife. Atau daie dan pensyarah. Atau daie dan peniaga pasar malam. Pendek kata, saya mahu mereka jadi daie!

Untuk mereka, saya beri fokus yang lebih. Kerana harapan saya  kepada mereka besar!

Lalu yang si adik-adik kecil itu... saya ajar biasa-biasa saja. Cukup sekadar apa yang di dalam buku teks. Tidak sepenuh keringat mendidik dan membimbing. Kerana pada pandangan saya, mereka ini kecil lagi. Belum matang lagi. Belum mampu lagi untuk memikirkan hal yang besar-besar. Belum layak lagi untuk menggalas tanggungjawab yang berat-berat.

But wait.. think again please...

Bukankah pepatah ada mengatakan melentur buluh biar dari rebungnya? Masih lembut, mudah dilentur ke kiri dan kanan?

Bukankah Rasulullah dulu mengajar islam yang syumul itu pada Anas bin Malek, seawal usia Anas baru mencecah 10 tahun. Sehingga si unais itu akhirnya membesar menjadi antara yang terbanyak meriwayatkan hadis Rasulullah.

Maka atas dasar apa saya membina persepsi saya? 

Saya rasa saya patut berubah la kan? Hmm 

Monday 7 October 2013

Marah - Apa akhirnya?

Kumpul angin dalam mulut. Penuh-penuh sampai kembung mulut. Hembuskan sekuat hati "Ffuuuuhhhh!!!" Ha baru puas hati. Lama banget tak update blog. Habuk sudah setebal lima inci "Huk! Huk!"

Banyak sebenarnya nak cerita.. jom dengar cerita hehehe...

Cerita 1

Sabtu lepas ada sekolah ganti. Tapi saya tidak hadir kerana perlu menghadiri kelas master di UPSI. Saya tinggalkan pesanan kepada guru ganti, minta pelajar menyiapkan latihan yang saya telah sediakan.

Hari ini Isnin. Guru ganti tadi melaporkan perihal pelajar saya sepanjang ketiadaan saya.

"Masuk kelas lambat"
"Sudah diberi arahan tapi lambat-lambat baru ambil kertas soalan dan buat"
"Langsung tidak serius dan tidak menunjukkan minat dan komitmen"

Terbakar hati.

Masuk saja kelas tersebut, saya terus menghamburkan rasa hati.

"Siapa yang sudah siapkan latihan yang cikgu beri?"
 Tiada seorang pun.

"Sampai bila kamu semua mahu begini? Bila mahu serius?"
 Diam tiada respons.

"Cikgu harap kamu semua fikirlah semula, sekarang sudah tingkatan 4, tidak lama lagi akan jadi tingkatan 5, kalau begini bagaimana mahu jadi pemimpin kepada adik-adik junior?"

Berhenti setakat itu. saya memang tidak suka membebel lama-lama.
 "Ok sekarang gunakan masa ini, siapkan latihan itu sampai habis"

Arahan diterima. Semua kelihatannya berusaha menjawab soalan latihan.
Saya minta mereka bertanya pada saya sekiranya tidak faham. Apabila mereka bertanya, saya jawab baik-baik, sedaya upaya menghilangkan marah-marah tadi.

Di akhir kelas saya edarkan borang maklum balas untuk sepanjang setahun saya mengajar mereka. Memang dari minggu lepas lagi saya sudah rancang untuk edarkan borang tersebut hari ini. Tapi terlupa pula tadi saya marah-marah. Mesti pelajar saya balas balik dalam borang itu. Huhu.

Balik dari kelas, duduk elok-elok dalam bilik guru. Baca satu-satu maklum balas pelajar. Sah! Ramai tidak puas hati saya marah-marah, garang-garang!

Cerita 2

Saya masuk ke dalam kelas tadi dengan wajah mencuka.

Kelas dengan dimulakan dengan bebelan marah-marah.

“Cikgu bagi masa kamu tidak gunakan dengan baik!”

“Cikgu suruh hantar latihan, kamu simpan buat pekasam!”

Nasib baik saya bukan jenis yang ‘pandai’ berleter. Sekejap sahaja saya sudah habis idea untuk membebel lagi.

Diam.

Kemudian terus mengajar silibus yang sepatutnya dihabiskan.

Tapi marah itu masih ada, tidak hilang. Dada terasa sempit. Mengajar pun menjadi huru hara, tidak teratur seperti selalu.

Saya pandang pelajar. “Mak aii, semua muka stress!”.

Kelas hari ini langsung tidak seronok.

Habis cerita... 

Marah-marah selalu tidak menyelesaikan masalah... kan?
Orang yang kena marah selalu akan rasa tidak bersalah, tidak perlu perbaiki diri.
Jadi orang marah tu lagi naik hantu la kan sebab tak nampak penambahbaikan pun..

Ke mana hujungnya???
Semua orang TIDAK PUAS HATI.

So the conclusion is... getting angry will lead you to no solution!


Monday 17 June 2013

Virus cinta TV

Saya sangat jarang menonton TV. Sejak dari zaman universiti lagi, TV memang tidak ada tempat di dalam rumah. Mungkin kerana internet memberi lebih banyak alternatif yang memenuhi cita rasa, maka TV dirasakan sudah tidak perlu. Namun kepulangan ke rumah ibu dan ayah pada cuti sekolah pertengahan tahun yang lepas, membuatkan saya 'membuka' TV semula. 

Rasanya tidak perlu diperjelaskan tentang betapa besarnya pengaruh TV dalam membentuk pemikiran masyarakat. Apa yang didedahkan oleh TV saban hari, itulah yang 'melekat' dalam memori masyarakat. Maka adalah sangat tidak wajar untuk mengambil mudah setiap isi yang ingin diketengahkan dalam setiap program TV. Namun, siapa yang memberi perhatian tentang ini?

Antara drama-drama yang saya sempat tonton sebelum cuti berakhir, rata-ratanya menonjolkan suasana kehidupan yang lari dari batasan syariat Islam. Saya bukan berbicara tentang cerita korea atau cerita hindustan, tapi ini tentang drama melayu, yang mana barisan pelakonnya beragama Islam.

Ada banyak babak dari drama-drama melayu ini yang menyentap iman. Antaranya babak seorang teman lelaki menjaga teman wanitanya yang demam. Dalam satu rumah yang tidak ada orang lain melainkan mereka sahaja. Amboi! Juga babak seorang wanita yang kecewa dengan teman lelakinya, lalu mencari ketenangan dengan mengunjungi pub! Hei, amalan orang islamkah itu? Malah, pasangan kekasih TV kini sudah berani beraksi berpelukan erat, sesuatu yang suatu masa dahulu hanya ada dalam cerita korea atau hindustan sahaja. Terasa seperti tidak ada beza menonton hasil karya orang islam dengan orang bukan islam.

Malah, drama kita sekarang sudah banyak mengangkat kes tangkap basah sebagai pintu atau peluang untuk memiliki cinta sejati. Bermula dengan ditangkap basah akibat terjerat ataupun mabuk, plot cerita bergerak dari sebuah keterpaksaan kepada cinta yang mengasyikkan. Jalan cerita yang sebegini, selalunya akan menarik ramai orang untuk duduk menghadap TV. Namun sedarkah kita, kita sedang menghidangkan sebuah kisah cinta yang bermula dengan maksiat, yang mana kalau benar berlaku di dunia realiti, pastinya rumah tangga itu jauh dari redha Ilahi.

Mungkin ada yang akan berkata "Ahh, itu hanya lakonan!"
Ya benar! Tapi mesej dari lakonan itu akan 'melekat' di dalam memori.
Takut-takut nanti masyarakat kita sudah tidak menganggap berzina itu sebagai dosa besar. Bahkan mungkin anak muda kita akan sengaja mempergunakan jabatan agama untuk menangkap basah mereka, supaya mereka dapat kahwin mudah dengan orang yang dicintai. Kerana dosa yang diulang berterusan, lama-lama akan dianggap sebagai kebiasaan.


Lebih dari itu, sebagai guru saya melihat perkara ini adalah batu penghalang kepada keberkesanan pendidikan islami kepada masyarakat. Bagaimana mungkin masyarakat akan dicorakkan sepenuhnya dengan islam yang syumul, sedangkan saban hari minda dan pemikiran mereka dicemari dengan maksiat. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, dan cahaya Allah itu tidak akan dapat kepada mereka yang melakukan maksiat.

Wednesday 22 May 2013

Sesuatu didalam rasa

Saya ke Universiti Malaya hari ini, menghantar adik sepupu saya menghadiri temuduga untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Wah, nak ambil ijazah di IPTA pun sudah perlu ditemuduga sekarang. Jangan main-main!

Melihat watak-watak yang memenuhi ruang universiti, hati saya berbisik "Seperti inikah ilmuwan?". Entahlah.

******

Saya adalah seorang guru, yang pastinya menjadi salah satu dari tenaga kerja yang bekerja keras mendokong aspirasi pendidikan negara. Seperti guru lain, diari hidup saya dipenuhi dengan usaha pelbagai cara bagi memastikan anak didik saya menguasai setiap topik yang terkandung dalam silibus pembelajaran yang ditetapkan kementerian. Sesi penerangan, perbincangan, latihan penguasaan topik, ulangkaji, kuiz, ujian, peperiksaan dan banyak lagi, semuanya dirancang oleh insan kecil bergelar guru ini, semata-mata mengharapkan anak didiknya mampu meraih A dalam SPM.

Untuk apa semua ini? Supaya keputusan cemerlang SPM akan membuka pintu yang luas bagi anak muridnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bergelar mahasiswa, ilmuwan di peringkat universiti. 

Kemudian apa? Mengharapkan ilmuwan ini mendapat kerja hebat, kereta mewah, rumah besar? Ya, baguslah kalau mereka beroleh semua ini. Tapi lebih jauh dari itu, saya berharap, dengan harapan yang sangat tinggi, supaya ilmuwan ini dapat menyumbang sebanyak-banyaknya untuk agama-Nya. Biar jadi seperti Abu Bakr yang punya harta, tetapi semuanya untuk Islam. Biar jadi seperti Aisyah yang punya ilmu, tapi semuanya dikongsi untuk Islam. Biar jadi seperti Khalid Al-Walid yang punya kebijaksanaan dan keberanian di medan perang, tapi semuanya digunakan demi kepentingan Islam. Biar hebat di sisi Allah, kerana itulah kecemerlangan yang hakiki.

Namun benarkah jalan saya ini? Benarkah semua usaha saya ini mampu menjadikan harapan saya ini menjadi kenyataan? Dan persoalan-persoalan ini akhirnya membuatkan saya terfikir "Benarkah sistem pendidikan negara? Mampukah sistem pendidikan yang dokong selama ini mampu memenuhi harapan saya?"

Dan jawapannya samar-samar. 

Monday 20 May 2013

Berbicaralah dengan tulisan

Hati berkocak
ada air bergenang di mata
dia jadi teringat
pada imannya
pada amalnya
pada Tuhannya

Sehingga tulisan itu 
habis dibaca satu-satu
dia terasa ada ruh baru
memacu imannya untuk
lebih banyak menyemai amal
lebih laju menghampiri Tuhan

*****

Hasil pena sebegini hebat
tidak akan lahir
kalau hati penulisnya
tidak penuh dengan iman dan cinta
pada Tuhan dan agamanya

Bait kata sebegini hebat
adalah terjemahan dari hati 
yang faham fikrah islam yang syumul
faham tugasnya sebagai abid
dan khalifah Tuhannya

*****

Oleh itu hai daie
ayuhlah
warnakan dunia ilmu ini
dengan tulisanmu
semoga dakwahmu takkan berhenti
meski nafasmu sudah tiada


Tuesday 7 May 2013

Wira hati

PRU 13 sudah melabuhkan tirainya. Moga-moga barisan kepimpinan Malaysia yang baru ini terdiri dari kalangan mereka yang jujur, amanah dan komited memimpin negara ke arah kebaikan dunia dan akhirat. 

Hai sang pemimpin
usah terlalu gembira
apa lagi berbangga diri
saat kau terpilih
menjadi ketua kami
kerana dipundakmu kini
ada amanah baru
yang akan dipersoalkan
kelak di depan Tuhanmu

Namun jangan khuatir
hai pemimpin kami
tetaplah kau tersenyum
kerana jika kau benar dan jujur
memikul amanah ini
pasti Allah menolong
dan rakyat mendokong

Hai pemimpin
jadilah kau wira hati kami
yang meletakkan islam 
dalam pentadbiran, kehakiman
ekonomi, pendidikan, pembangunan
kekeluargaan, hiburan, perayaan
dan segalanya

Sesungguhnya pemimpin yang benar
akan menjadikan diri dan rakyatnya
semakin taat dan patuh
kepada Allah Yang Maha Kuasa

********

Mari sejenak kita imbas kembali kisah cemerlang di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Di akhir pemerintahan beliau, Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar Al-Khattab untuk menjadi pengganti beliau sebagai khalifah islam. Perkara ini disyurokan dan akhirnya dipersetujui oleh para sahabat. 

Saat Saidina Umar mengetahui perkara ini, beliau terus bergegas berjumpa dengan Saidina Abu Bakar dan berkata "Hai Abu Bakr, bebaskan aku dari ini". Namun Saidina Abu Bakar menjawab "Jika terpaksa aku menggunakan pedang supaya engkau menerimanya, pasti aku akan melakukannya". Akhirnya Saidina Umar akur, dan bermulalah hari-hari hidupnya yang sangat sibuk demi memastikan islam tertegak di setiap sudut pemerintahannya.

Pasti anda pernah mendengar kisah bagaimana Saidina Umar menghabiskan harinya memantau sendiri kehidupan rakyat sehingga suatu hari beliau terjumpa sebuah rumah milik seorang penjual susu. Saidina Umar terdengar perbualan antara penjual susu dengan anak perempuannya... 

“Bangunlah dan campurkan susu itu dengan air, untuk membanyakkan jualan kita esok..”

“Ibu, tidakkah ibu tahu tentang pengumuman yang dikeluarkan oleh Saidina Umar pada hari ini?”

“Apa pengumumannya?”

“Sesungguhnya Saidina Umar telah mengumumkan kepada penjual susu untuk tidak mencampurkan air ke dalam susu-susu yang hendak dijual..”

“Wahai anakku, bangunlah, dan campurkan sedikit air ke dalam susu itu. Sesungguhnya engkau berada di tempat yang tidak dapat dilihat oleh Saidina Umar.”

“Wahai ibuku, sesungguhnya aku tidak sekali-kali akan mentaatinya dalam keadaan terang-terangan dan mengkhianatinya dalam keadaan bersembunyi. Sekiranya Saidina Umar tidak melihat kita, maka Tuhan Amirul Mukminin melihat kita.”

Perbualan ini menyebabkan Umar datang semula ke rumah tersebut pada siang harinya. Beliau menegur sikap tidak amanah si penjual susu, dan sebaliknya memuji sikap amanah yang dimiliki oleh anak perempuan si penjual susu tersebut.

Nah! Lihatlah bagaimana seorang pemimpin yang benar akan menjadikan diri dan rakyatnya semakin tunduk dan taat kepada Allah dari hari ke hari.

Semoga pemimpin seperti inilah yang menunjangi barisan kepimpinan negara. 

Sunday 24 February 2013

Bertatihlah bersamaku

Saya menonton filem "Taare Zameen Par" semalam. Pertama kali menontonnya secara penuh. Filem yang terasa dekat dihati. Mungkin kerana ia berkisar tentang karier yang sama seperti saya. Seorang guru. Seorang pendidik.

Kebiasaannya di mana-mana pun sekolah, guru akan berhadapan dengan berpuluh-puluh orang pelajar untuk diajar dalam satu-satu masa. Jika didalam kelas tersebut mempunyai 27 orang pelajar, maka guru berhadapan 27 kemampuan dan kebolehan yang berbeza untuk dibawa kepada satu kefahaman yang sama.


Selalu berlaku apabila guru mengajar A sehingga Z, hanya 5 orang sahaja yang dapat menguasai sepenuhnya A sehingga Z. Selebihnya mungkin 6 orang A sehingga D. 3 orang C sehingga F dan seterusnya. Maka selepas penerangan kepada seluruh kelas, guru harus mengambil inisiatif untuk mendekati setiap pelajar dan memastikan semuanya memahami A sehingga Z.


Dan hal ini akan menyebabkan guru harus mengulang pelajaran yang sama berulang-ulang. Mengulang dengan cara yang sama atau mungkin harus mencari analogi lain supaya kefahaman itu sampai kepada pelajar-pelajarnya. Kadang-kadang apabila pelajar tersenyum yakin bahawa dia faham, ternyata latihan-latihannya membuktikan bahawa ia belum faham sepenuhnya. Maka guru harus mengulang lagi, dan lagi. Sehingga terkadang guru melangkah longlai saat keluar dari kelas, kerana kepenatan.


Dan ternyata kepenatan guru itu tidak berhenti di situ. Latihan-latihan pelajar tadi harus disemak, supaya dia tahu tidak ada seorang pun yang tercicir kefahamannya. Malah kadang-kadang harus berkorban masa di luar waktu kerja, untuk memberi perhatian kepada pelajar yang sangat lemah supaya dia tidak ketinggalan. Menerangkan sesuatu kepada pelajar lemah bukan sesuatu yang mudah, harus bertatih bersama-samanya melangkah perlahan-lahan dari A sehingga Z.


Itulah kerjaya seorang pendidik. Dari kaca mata saya. Hatinya mesti diselaputi dengan dengan selimut sabar yang tebal, kemahuannya harus ditemani dengan kegigihan yang tinggi, ilmunya harus dilengkapi dengan idea-idea kreatif untuk menyampaikan faham. Meski dia mampu berlari, terkadang dia harus bertatih bersama-sama dengan anak didiknya, semata-mata untuk memastikan yang anak didiknya itu pun sampai juga ke garisan penamat.


Penat? Ya, tentulah! tapi itulah kebahagiaan bagi seorang pendidik. Bahagia melihat anak didiknya mampu berdiri sendiri melakar diari hidup yang cemerlang. Bahagia menanam benih-benih amal untuk dituai hasilnya di akhirat kelak. 


Dunia pendidik, di dalamnya bukan hanya ada guru, tapi juga ada ibu, ayah, kakak, abang, naqib, naqibah, murabbi malah sesiapa sahaja yang mahu kebaikan yang ada pada dirinya dikongsi dengan orang lain.



Satu-satunya kekuatan bagi sang pendidik ialah Allah, yang kepada-Nya dipohon agar memenuhkan hatinya dengan kasih sayang kepada semua anak didiknya walau bagaimana pun ragam mereka. Kerana amat sukar sekali mendidik tanpa rasa kasih sayang. Kepada-Nya juga dipohon agar dikurniakan kesabaran, kekuatan dan ilham-ilham untuk menyampaikan faham. Kepada-Nya juga ditautkan tawakkal, moga-moga ilmu yang dikongsikan mampu menerangi perjalanan anak didiknya menuju ke syurga.

Love to see you happy =)

Friday 22 February 2013

betulkah ini?

saat perjuangan dirasakan sudah lama
saat lelah dirasakan menyekat nafas
hati mula bertanya kembali
pada soalan yang dulu dijawab yakin
tapi kini kembali kelabu

benarkah pilihanku ini?

pada puluhan pilihan masa depan
ku pilih guru sebagai kerjaya
dengan niat besar
ingin menyumbang setiap saat hidupku
untuk ummah dan islam

benarkah itu yang ku perbuat?

kiri kanan kucuba memerhati
semuanya nampak sama seperti dulu
entah mana kesannya kehadiranku ini
ada tak bertambah, tiada tak berkurang

saat ini aku pun menjadi tidak pasti
pada rentak langkah yang ku atur hari-hari
apakah makin mendekat
atau makin menjauh dengan niat asalku dulu..

O Allah, guide me to the straight path.

bila dia mahu pindah

"Cikgu, saya mahu pindah sekolah"

Saya selalu tidak pasti apa perasaan yang patut saya rasa saat berhadapan dengan situasi ini.


Sedih? Tapi kan pelajar ini akan ke tempat baru, di sana dia akan berhadapan dengan pangalaman-pengalaman baru yang pastinya sangat bermakna dalam perjalanannya mencari erti hidup.

Kalau begitu patutkah saya berasa gembira? Tapi pelajar ini akan ke sekolah baru yang tidak pasti warna didikannya bagaimana. Islamkah? Sekularkah? 

Jadi apa yang patut saya rasa saat pelajar mengucapkan jazakillah dan selamat tinggal?
Tiada jawapan.

Yang ada hanya doa dan tawakkal kepada Allah Maha Pelindung. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk pelajar ini dalam meraih redha-Nya, serta memenuhkan hati pelajar ini dengan iman yang benar dan  teguh agar walau apa pun yang bakal ditempuhinya, iman itu akan melindunginya dari tergelincir dari jalan menuju syurga.

Cikgu sayang selalu pelajar cikgu =)