Tuesday 7 May 2013

Wira hati

PRU 13 sudah melabuhkan tirainya. Moga-moga barisan kepimpinan Malaysia yang baru ini terdiri dari kalangan mereka yang jujur, amanah dan komited memimpin negara ke arah kebaikan dunia dan akhirat. 

Hai sang pemimpin
usah terlalu gembira
apa lagi berbangga diri
saat kau terpilih
menjadi ketua kami
kerana dipundakmu kini
ada amanah baru
yang akan dipersoalkan
kelak di depan Tuhanmu

Namun jangan khuatir
hai pemimpin kami
tetaplah kau tersenyum
kerana jika kau benar dan jujur
memikul amanah ini
pasti Allah menolong
dan rakyat mendokong

Hai pemimpin
jadilah kau wira hati kami
yang meletakkan islam 
dalam pentadbiran, kehakiman
ekonomi, pendidikan, pembangunan
kekeluargaan, hiburan, perayaan
dan segalanya

Sesungguhnya pemimpin yang benar
akan menjadikan diri dan rakyatnya
semakin taat dan patuh
kepada Allah Yang Maha Kuasa

********

Mari sejenak kita imbas kembali kisah cemerlang di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Di akhir pemerintahan beliau, Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar Al-Khattab untuk menjadi pengganti beliau sebagai khalifah islam. Perkara ini disyurokan dan akhirnya dipersetujui oleh para sahabat. 

Saat Saidina Umar mengetahui perkara ini, beliau terus bergegas berjumpa dengan Saidina Abu Bakar dan berkata "Hai Abu Bakr, bebaskan aku dari ini". Namun Saidina Abu Bakar menjawab "Jika terpaksa aku menggunakan pedang supaya engkau menerimanya, pasti aku akan melakukannya". Akhirnya Saidina Umar akur, dan bermulalah hari-hari hidupnya yang sangat sibuk demi memastikan islam tertegak di setiap sudut pemerintahannya.

Pasti anda pernah mendengar kisah bagaimana Saidina Umar menghabiskan harinya memantau sendiri kehidupan rakyat sehingga suatu hari beliau terjumpa sebuah rumah milik seorang penjual susu. Saidina Umar terdengar perbualan antara penjual susu dengan anak perempuannya... 

“Bangunlah dan campurkan susu itu dengan air, untuk membanyakkan jualan kita esok..”

“Ibu, tidakkah ibu tahu tentang pengumuman yang dikeluarkan oleh Saidina Umar pada hari ini?”

“Apa pengumumannya?”

“Sesungguhnya Saidina Umar telah mengumumkan kepada penjual susu untuk tidak mencampurkan air ke dalam susu-susu yang hendak dijual..”

“Wahai anakku, bangunlah, dan campurkan sedikit air ke dalam susu itu. Sesungguhnya engkau berada di tempat yang tidak dapat dilihat oleh Saidina Umar.”

“Wahai ibuku, sesungguhnya aku tidak sekali-kali akan mentaatinya dalam keadaan terang-terangan dan mengkhianatinya dalam keadaan bersembunyi. Sekiranya Saidina Umar tidak melihat kita, maka Tuhan Amirul Mukminin melihat kita.”

Perbualan ini menyebabkan Umar datang semula ke rumah tersebut pada siang harinya. Beliau menegur sikap tidak amanah si penjual susu, dan sebaliknya memuji sikap amanah yang dimiliki oleh anak perempuan si penjual susu tersebut.

Nah! Lihatlah bagaimana seorang pemimpin yang benar akan menjadikan diri dan rakyatnya semakin tunduk dan taat kepada Allah dari hari ke hari.

Semoga pemimpin seperti inilah yang menunjangi barisan kepimpinan negara. 

No comments:

Post a Comment