Wednesday 4 November 2015

Wahai negara, nah solusi untuk anda!

Suatu masa khalifah Harun Ar-Rasyid pernah berkata, “Wahai awan, pergilah ke mana saja, hasilmu nanti pasti akan sampai kepadaku”

Awan itu ke mana jua, akan menjatuhkan titisan air hujan yang menyuburkan bumi. Lalu tanaman-tanaman pasti membuahkan hasil. Dan hasil itu akan dihitung nilai zakatnya untuk dibayar kepada negara. Wang zakat itu kemudiannya akan dibahagikan dengan adil kepada semua golongan rakyat memerlukan. Sehingga akhirnya tiada yang miskin di negara Islam.

Apabila ekonomi stabil, rakyat akan cukup makan pakai mereka, maka kadar jenayah akan menurut. Orang tidak perlu menipu, mencuri, menyamun, merompak, mencederakan dan membunuh untuk mendapatkan wang. Kerana mereka sudah punya cukup wang. Ada satu masa semasa pemerintahan Islam, wang zakat tidak dapat diagih-agihkan. Kenapa? Kerana semua orang sudah tidak layak menerimanya. Pemerintahan Islam telah menjadikan seluruh rakyatnya kaya raya. Islam adalah solusi negara, kan?

Bagaimana kalau dalam keadaan baik seperti ini pun, masih ada yang mencuri contohnya? Kalau suasana ekonomi baik, dan selepas dinilai dari segala aspek yang menyeluruh seperti kecuaian pemilik harta dan sebagainya, maka sang pencuri boleh dihukum dengan hudud. Andainya sabit kesalahan dan hukuman dijatuhkan, maka itu adalah pengajaran sekaligus amaran yang akan menghentikan orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama. Kan itu menjamin keharmonian negara?

Kenapa sekarang kita merasa tidak selamat dimana-mana hatta di dalam rumah sendiri? Kerana penjenayah sekarang ada dimana-mana. Tekanan ekonomi yang meruncing menjadi faktor besar yang mendorong perlakuan jenayah. Orang perlukan wang tetapi mereka dibuang kerja. Orang perlukan makanan tetapi semuanya mahal-mahal. Semua ini mendorong kepada perlakuan jenayah. Disokong pula dengan undang-undang yang tidak berjaya menghentikan perlakuan jenayah. Berjayakah penjara menghentikan perlakuan jenayah? Berjayakah denda ribuan malah jutaan ringgit menghentikan jenayah. Kalau berjaya, mengapa penjenayah ada di mana-mana?

Sekali lagi Islam adalah solusi. Di dalam Islam, ada konsep Ehsan, di mana seorang individu merasakan bahawa Allah melihatnya dan mengetahui setiap perbuatan dan tingkah lakunya. Nah, dengan rakyat yang bersikap ehsan ini, negara tidak perlu memposisikan polis dan segala macam peralatan canggihnya seperti CCTV di setiap ceruk di mana rakyat berada. Kerana rakyat tidak perlu dipantau untuk bertindak baik. Rakyat tidak perlu dipaksa untuk mematuhi undang-undang. Kerana rakyat mempunyai sikap Ehsan, mereka tahu Allah sentiasa memerhatikan setiap gerak geri dan amalnya. Maka, kerajaan tidak perlu melabur jutaan wang untuk mendisiplinkan rakyat kepada undang-undang negara. Islam adalah solusi negara, kan?

Islam adalah solusi. Untuk dunia, negara, masyarakat, keluarga malah individu. Jadi, ayuh teruskan membangunkan islam di dalam sendiri dan orang lain. Kerana ini adalah langkah-langkah penting menuju kepada keharmonian dan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Tuesday 3 November 2015

Memadam Marah

Akhir tahun.

Kerja guru tidak tertanggung banyaknya. Waktu-waktu begini setiap hati menjadi terlalu sensitif. Terutamanya guru-guru perempuan. Pantang salah sedikit, cepat sekali melenting. Saya sendiri pun, mahu senyum pun terasa amat payah.

Suatu hari di awal minggu, sekolah kekurangan guru untuk membantu mengendalikan pelajar Tingkatan 3. Yang telah ditetapkan ramai, tetapi terlepas pandang kerana kebanyakan daripada mereka berada di Port Dickson atas urusan PT3. Jadi yang bertugas untuk mengendalikan pelajar Tingkatan 3 hanya seorang pada satu-satu masa. 106 pelajar dibawah kelolaan seorang guru, tidak mengapa kalau semuanya di satu tempat yang sama. Malangnya, mereka berada di empat kelas yang berbeza. Harus dikerat empatkah guru tersebut? Tidak dapat menjawab persoalan itu, saya menghantar mesej ke Telegram Guru.

"Mohon pencerahan, bagaimana dengan pelajar Tingkatan 3 hari ini memandangkan guru Tingkatan 3 lain tidak berada di sekolah"

Beberapa minit kemudian, pertanyaan saya berbalas.

"Tidak payah ungkitlah tentang kami yang berada di PD ni, Selama ini pun kami handle Tingkatan 3 seorang sahaja di dewan"

"Betul tu, tidak payahlah mohon pencerahan"

Jawapan yang menyakitkan. Jauh dari yang saya maksudkan.

Saya membalas. "Maaf, selama ini jika pelajar di dewan, memang kami mengendalikan mereka seorang saja. Tidak dibantu pun. Masalahnya kali ini mereka semua diarahkan berada di kelas masing-masing . Guru-guru ini tidak boleh dikerat empat. Sebab itu minta pencerahan daripada pihak atasan yang mengeluarkan arahan"

Lebih kurang begitu. Semoga tidak merosak akhlak seorang muslim. Ramai juga guru lain, yang di sekolah, datang mendekati saya dan meminta supaya bersabar. Terima kasih =)

Bacaan Al-Quran pada hari itu, MasyaAllah Allah temukan saya pada ayat ini dari surah Al-Imran..

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan Allah dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa (133) (yaitu) yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan (144)"

Salah seorang guru yang menjawab saya dengan kasar, telah memberi mesej kepada saya secara personal. Seorang lagi, langsung tidak memohon maaf. Di telefon, memang saya sudah memaafkan. Tapi realitinya hati saya masih mengungkit-ungkit. Berhari-hari juga saya berusaha menyingkirkan perasaan marah ini. Susah rupanya. Saya mengulang ingat ayat Al-Quran tersebut untuk memaksa diri memaafkan.

MasyaAllah. Patutlah ganjarannya syurga!