Tuesday 3 November 2015

Memadam Marah

Akhir tahun.

Kerja guru tidak tertanggung banyaknya. Waktu-waktu begini setiap hati menjadi terlalu sensitif. Terutamanya guru-guru perempuan. Pantang salah sedikit, cepat sekali melenting. Saya sendiri pun, mahu senyum pun terasa amat payah.

Suatu hari di awal minggu, sekolah kekurangan guru untuk membantu mengendalikan pelajar Tingkatan 3. Yang telah ditetapkan ramai, tetapi terlepas pandang kerana kebanyakan daripada mereka berada di Port Dickson atas urusan PT3. Jadi yang bertugas untuk mengendalikan pelajar Tingkatan 3 hanya seorang pada satu-satu masa. 106 pelajar dibawah kelolaan seorang guru, tidak mengapa kalau semuanya di satu tempat yang sama. Malangnya, mereka berada di empat kelas yang berbeza. Harus dikerat empatkah guru tersebut? Tidak dapat menjawab persoalan itu, saya menghantar mesej ke Telegram Guru.

"Mohon pencerahan, bagaimana dengan pelajar Tingkatan 3 hari ini memandangkan guru Tingkatan 3 lain tidak berada di sekolah"

Beberapa minit kemudian, pertanyaan saya berbalas.

"Tidak payah ungkitlah tentang kami yang berada di PD ni, Selama ini pun kami handle Tingkatan 3 seorang sahaja di dewan"

"Betul tu, tidak payahlah mohon pencerahan"

Jawapan yang menyakitkan. Jauh dari yang saya maksudkan.

Saya membalas. "Maaf, selama ini jika pelajar di dewan, memang kami mengendalikan mereka seorang saja. Tidak dibantu pun. Masalahnya kali ini mereka semua diarahkan berada di kelas masing-masing . Guru-guru ini tidak boleh dikerat empat. Sebab itu minta pencerahan daripada pihak atasan yang mengeluarkan arahan"

Lebih kurang begitu. Semoga tidak merosak akhlak seorang muslim. Ramai juga guru lain, yang di sekolah, datang mendekati saya dan meminta supaya bersabar. Terima kasih =)

Bacaan Al-Quran pada hari itu, MasyaAllah Allah temukan saya pada ayat ini dari surah Al-Imran..

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan Allah dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa (133) (yaitu) yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan (144)"

Salah seorang guru yang menjawab saya dengan kasar, telah memberi mesej kepada saya secara personal. Seorang lagi, langsung tidak memohon maaf. Di telefon, memang saya sudah memaafkan. Tapi realitinya hati saya masih mengungkit-ungkit. Berhari-hari juga saya berusaha menyingkirkan perasaan marah ini. Susah rupanya. Saya mengulang ingat ayat Al-Quran tersebut untuk memaksa diri memaafkan.

MasyaAllah. Patutlah ganjarannya syurga!

No comments:

Post a Comment