Wednesday 22 May 2013

Sesuatu didalam rasa

Saya ke Universiti Malaya hari ini, menghantar adik sepupu saya menghadiri temuduga untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Wah, nak ambil ijazah di IPTA pun sudah perlu ditemuduga sekarang. Jangan main-main!

Melihat watak-watak yang memenuhi ruang universiti, hati saya berbisik "Seperti inikah ilmuwan?". Entahlah.

******

Saya adalah seorang guru, yang pastinya menjadi salah satu dari tenaga kerja yang bekerja keras mendokong aspirasi pendidikan negara. Seperti guru lain, diari hidup saya dipenuhi dengan usaha pelbagai cara bagi memastikan anak didik saya menguasai setiap topik yang terkandung dalam silibus pembelajaran yang ditetapkan kementerian. Sesi penerangan, perbincangan, latihan penguasaan topik, ulangkaji, kuiz, ujian, peperiksaan dan banyak lagi, semuanya dirancang oleh insan kecil bergelar guru ini, semata-mata mengharapkan anak didiknya mampu meraih A dalam SPM.

Untuk apa semua ini? Supaya keputusan cemerlang SPM akan membuka pintu yang luas bagi anak muridnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bergelar mahasiswa, ilmuwan di peringkat universiti. 

Kemudian apa? Mengharapkan ilmuwan ini mendapat kerja hebat, kereta mewah, rumah besar? Ya, baguslah kalau mereka beroleh semua ini. Tapi lebih jauh dari itu, saya berharap, dengan harapan yang sangat tinggi, supaya ilmuwan ini dapat menyumbang sebanyak-banyaknya untuk agama-Nya. Biar jadi seperti Abu Bakr yang punya harta, tetapi semuanya untuk Islam. Biar jadi seperti Aisyah yang punya ilmu, tapi semuanya dikongsi untuk Islam. Biar jadi seperti Khalid Al-Walid yang punya kebijaksanaan dan keberanian di medan perang, tapi semuanya digunakan demi kepentingan Islam. Biar hebat di sisi Allah, kerana itulah kecemerlangan yang hakiki.

Namun benarkah jalan saya ini? Benarkah semua usaha saya ini mampu menjadikan harapan saya ini menjadi kenyataan? Dan persoalan-persoalan ini akhirnya membuatkan saya terfikir "Benarkah sistem pendidikan negara? Mampukah sistem pendidikan yang dokong selama ini mampu memenuhi harapan saya?"

Dan jawapannya samar-samar. 

Monday 20 May 2013

Berbicaralah dengan tulisan

Hati berkocak
ada air bergenang di mata
dia jadi teringat
pada imannya
pada amalnya
pada Tuhannya

Sehingga tulisan itu 
habis dibaca satu-satu
dia terasa ada ruh baru
memacu imannya untuk
lebih banyak menyemai amal
lebih laju menghampiri Tuhan

*****

Hasil pena sebegini hebat
tidak akan lahir
kalau hati penulisnya
tidak penuh dengan iman dan cinta
pada Tuhan dan agamanya

Bait kata sebegini hebat
adalah terjemahan dari hati 
yang faham fikrah islam yang syumul
faham tugasnya sebagai abid
dan khalifah Tuhannya

*****

Oleh itu hai daie
ayuhlah
warnakan dunia ilmu ini
dengan tulisanmu
semoga dakwahmu takkan berhenti
meski nafasmu sudah tiada


Tuesday 7 May 2013

Wira hati

PRU 13 sudah melabuhkan tirainya. Moga-moga barisan kepimpinan Malaysia yang baru ini terdiri dari kalangan mereka yang jujur, amanah dan komited memimpin negara ke arah kebaikan dunia dan akhirat. 

Hai sang pemimpin
usah terlalu gembira
apa lagi berbangga diri
saat kau terpilih
menjadi ketua kami
kerana dipundakmu kini
ada amanah baru
yang akan dipersoalkan
kelak di depan Tuhanmu

Namun jangan khuatir
hai pemimpin kami
tetaplah kau tersenyum
kerana jika kau benar dan jujur
memikul amanah ini
pasti Allah menolong
dan rakyat mendokong

Hai pemimpin
jadilah kau wira hati kami
yang meletakkan islam 
dalam pentadbiran, kehakiman
ekonomi, pendidikan, pembangunan
kekeluargaan, hiburan, perayaan
dan segalanya

Sesungguhnya pemimpin yang benar
akan menjadikan diri dan rakyatnya
semakin taat dan patuh
kepada Allah Yang Maha Kuasa

********

Mari sejenak kita imbas kembali kisah cemerlang di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Di akhir pemerintahan beliau, Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar Al-Khattab untuk menjadi pengganti beliau sebagai khalifah islam. Perkara ini disyurokan dan akhirnya dipersetujui oleh para sahabat. 

Saat Saidina Umar mengetahui perkara ini, beliau terus bergegas berjumpa dengan Saidina Abu Bakar dan berkata "Hai Abu Bakr, bebaskan aku dari ini". Namun Saidina Abu Bakar menjawab "Jika terpaksa aku menggunakan pedang supaya engkau menerimanya, pasti aku akan melakukannya". Akhirnya Saidina Umar akur, dan bermulalah hari-hari hidupnya yang sangat sibuk demi memastikan islam tertegak di setiap sudut pemerintahannya.

Pasti anda pernah mendengar kisah bagaimana Saidina Umar menghabiskan harinya memantau sendiri kehidupan rakyat sehingga suatu hari beliau terjumpa sebuah rumah milik seorang penjual susu. Saidina Umar terdengar perbualan antara penjual susu dengan anak perempuannya... 

“Bangunlah dan campurkan susu itu dengan air, untuk membanyakkan jualan kita esok..”

“Ibu, tidakkah ibu tahu tentang pengumuman yang dikeluarkan oleh Saidina Umar pada hari ini?”

“Apa pengumumannya?”

“Sesungguhnya Saidina Umar telah mengumumkan kepada penjual susu untuk tidak mencampurkan air ke dalam susu-susu yang hendak dijual..”

“Wahai anakku, bangunlah, dan campurkan sedikit air ke dalam susu itu. Sesungguhnya engkau berada di tempat yang tidak dapat dilihat oleh Saidina Umar.”

“Wahai ibuku, sesungguhnya aku tidak sekali-kali akan mentaatinya dalam keadaan terang-terangan dan mengkhianatinya dalam keadaan bersembunyi. Sekiranya Saidina Umar tidak melihat kita, maka Tuhan Amirul Mukminin melihat kita.”

Perbualan ini menyebabkan Umar datang semula ke rumah tersebut pada siang harinya. Beliau menegur sikap tidak amanah si penjual susu, dan sebaliknya memuji sikap amanah yang dimiliki oleh anak perempuan si penjual susu tersebut.

Nah! Lihatlah bagaimana seorang pemimpin yang benar akan menjadikan diri dan rakyatnya semakin tunduk dan taat kepada Allah dari hari ke hari.

Semoga pemimpin seperti inilah yang menunjangi barisan kepimpinan negara.