Tuesday 5 August 2014

Kata yang menggerakkan

Ah, malu sekali!
Atas alasan mahu fokus pada medan dakwah yang lain, maka medan ini ditinggalkan.
Kalau hasil yang difokus itu brilliant, ya berbaloi juga
Namun peribahasa "Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran" nampaknya sangat tepat mendepkripsikan segala.

Malunya mengatakan "penat"
Ketika orang lain mampu menyumbang lebih untuk dakwah ini
Dengan hasil yang masyaAllah mengagumkan!

Maka inilah coretan, saya mulakan semula
semoga nanti ada bekal yang saya bawa
ketika menghadap Tuhan.

*******

Di dalam buku "Jalan Cinta Para Pejuang" tulisan Akh Salim A. Fillah, yang setiap helaiannya menjentik rasa, ada diceritakan tentang seorang guru yang namanya Ahmad Yasin. Atau rasanya menyebut Syeikh Ahmad Yasin lebih mudah untuk dikenali. Ya itulah orangnya. Beliau seorang guru, yang kata-katanya menggerakkan pelajarnya. Beliau adalah guru yang setiap katanya menerbitkan amal anak didiknya.

Subhanallah. Cemburunya!

Sesuatu yang tidak mudah!

Kalau didalam bilik guru sekolah saya, ketika saatnya para guru menanda kertas soalan peperiksaan, rasanya sudah lali mendengar keluhan sang guru "Ish geramnya, sudah ajar banyak kali, masih tidak tahu menjawab"

Kata yang tidak membuahkan amal.

Saya pun sendiri, Alhamdulillah tahun ini diberi tanggungjawab mengajar subjek Sirah Nabi. Subjek yang tidak gah pada pandangan kebanyakkan. Dulu semasa saya mengajar subjek Matematik dan Matematik Tambahan, orang selalu kata "Wah, pandainya, hebatnya!". "Sekarang saya mengajar sirah". Responnya "Owh, ok lah tu" Haha. Tidak mengapalah.

Untuk para pelajar yang belajar sirah melalui celoteh saya, saya ada impian besar untuk mereka. Saya mahu mereka menjadi sehebat generasi sahabat. Ketika saya bercerita tentang Umar Al-Khattab, saya mahu mereka menjadi Umar juga. Ketika saya bercerita tentang Nasibah Ummu Umarah, saya mahu mereka pun menjadi Nasibah juga. Ketika saya bercerita tentang junjungan besar Nabi, saya mahu mereka sedaya upaya mencontohi baginda.

Tapi itulah, kata yang tidak membuahkan amal.

Maka saya cemburu pada guru yang mampu menggerakkan pelajarnya. Saya cemburu pada sang guru yang mampu menerbitkan amal anak buahnya.

Dan saya tahu apa bezanya saya dengan sang guru hebat ini. Bezanya adalah hubungan dengan Allah. Dia yang lebih, saya yang kurang.

No comments:

Post a Comment