Saturday 30 June 2012

Kesayangan cikgu

Pagi itu bermula seperti biasa. Sebelum tiba-tiba datang pesanan dari pejabat. Katanya warden sepenuh masa yang sepatutnya bertugas pagi ini bercuti. Jadi guru bertugas perlu ambil alih tugas. Dan sayalah orangnya.

Bukan sedikit tugas yang harus di ambil alih. Sementara tugas guru sedia ada masih terpikul di bahu.

Bergegas ke bili sakit. Pelajat Tingkatan 3 yang tiada slip sakit diminta ke sekolah. Hari ini mereka wajib melaksanakan PLBS Bahasa Arab dihadapan pegawai pentaksir.

Kemudian ke bilik warden, seorang penjaga ingin membawa pulang anak saudaranya yang demam. Malangnya, anak saudaranya itu pelajar tingkatan 3, jadi urusan pulang perlu ditangguh sehingga selepas PLBS selesai.

Kemudian mencari seorang pelajar Tingkatan 1 yang sakit. Ibunya sudah menunggu untuk membawanya pulang.

Kemudian itu dan ini. Kelas pula sebentar lagi.

Serabut. Tertekan. Yang amat sangat. Marah kerana dipaksa membuat kerja orang lain. Sukar sekali dipadam dengan sabar dan ikhlas.

30 minit sebelum ke kelas, segalanya tadi selesai. Tidaklah sepenuhnya, tapi dapat diserahkan kepada orang lain untuk diselesaikan. Kembali ke bilik guru dan cuba bertenang. Sedaya upaya menghilangkan marah sebelum berjumpa pelajar. Takut terhambur pada yang tidak bersalah.

Tiba masanya, kaki diatur ke kelas Tingkatan 4. Saya akan mengajar Matematik Bab 8. Sebaik sahaja berhadapan dengan pelajar, marah yang tadinya meluap-luap, hilang tidak berbaki. Hilang terus tekanan yang baru sebentar tadi dirasakan tidak tertanggung. PnP berjalan dengan sangat ceria. Tidak kering gusi melayan karenah pelajar. SubahanAllah nikmat apakah ini?

Terasa benar para pelajar adalah pencetus bahagia seorang guru.

Terima kasih, sayang =) 


No comments:

Post a Comment